January 4, 2011

Setem Khazanah Seni Visual Malaysia





Sempena ulang tahun ke 50 Balai Seni Lukis Negara (BSLN), Khazanah Seni Visual Negara melangkah kesatu tahap atau konteks yang lebih jauh lagi. Satu penghargaan buat BSLN untuk merealisasikan buat pertama kalinya karya tiga pelukis tersohor diabadikan sebagai setem Khazanah Seni Visual Negara dengan kerjasama Pos Malaysia Berhad menjadikan satu koleksi setem seni visual yang akan menjelajah ke seluruh pelusok dunia. 28 Ogos 2008 dipilih sebagai hari pelancaran sempena menyambut hari kelahiran BSLN yang ke 50.

Dalam tempoh 50 tahun penubuhan BSLN, terdapat 3,700 buah karya yang telah terhimpun. Khazanah Seni Visual Negara adalah koleksi catan pelukis pelukis terkenal Malaysia yang menjadi peneraju dan pengasas kepada seni lukis moden di Malaysia. Hasil karya yang dipilih adalah berdasarkan perwakilan kepada tema figuratif dan landskap yang dipersembahkan dalam gaya seperti realisme, eksperisionisme, kubisme dan seni moden yang berilhamkan seni tradisi. Sebagai pengisian ulangtahun ke 50 Balai Seni Lukis Negara juga telah berjaya menjalankan beberapa aktiviti sama ada di dalam mahupun di luar BSLN. Antaranya adalah pameran koleksi karya Seni Visual terbesar yang mempamerkan himpunan tetap negara iaitu Pameran Susurmasa atau Timelines, penerbitan Direktori Galeri-Galeri Seni, ’Kids World Longest Underwater Painting’ di Pulau Mabul, Sabah, Simposium Konservasi Antarabangsa, Rantau Budaya Merdeka : Pencarian Wajah Jati Malaysia, Pameran SEMESTA, Pertemuan dan Dialog dengan penggiat seni, Sidang Seni : SINI 08 kerjasama BSLN bersama Kementerian Pelajaran Malaysia dan Persatuan Seni Visual, Koleksi Saya: Rahime Harun dan yang akan datang Pameran TENG: Satu Penghargaan yang mempamerkan karya terbaik oleh Mendiang Datuk Chuah Thean Teng seorang pelukis terpenting negara. Setem Khazanah Seni Visual Negara ini telah dilancarkan oleh Y. Bhg. Dato’ Seri Hj. Mohd Shafie Hj. Apdal, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KEKKWA). Bersama-sama pelancaran ini juga telah dirasmikan katalog bagi pameran SUSURMASA versi Bahasa Inggeris juga sambutan harijadi warganegara Malaysia yang bertuah dan terpilih yang sama tarikh lahirnya dengan BSLN.





No comments:

Lukis Potret Guna Pastel- Mesti Tonton