April 22, 2014

LUKISAN MURAL : Memanifestasi Keindahan Landskap Kota Kinabalu

Alam semulajadi ciptaan Ilahi tidak terbanding indahnya. Keunikan dan kepelbagaian rupa alam yang sungguh mempesonakan ini lebih memukau pandangan mata jika ia menjadi sebahagian dari landskap bandar yang dapat memberi keharmonian dan kesejahteraan penduduknya. Dari pandangan mata terus menusuk ke hati, mendamaikan jiwa dan menenangkan minda. Pelukis adalah insan yang paling hampir dengan alam berusaha mengabadikan kedamaian dan ketenangan tersebut menjadikan aktiviti melakar dan melukis terus hidup disanubarinya. Ia langsung dapat dikongsikan kepada masyarakat agar dapat menghargai keindahan dan keunikan alam semulajadi di samping perancangan persekitaran bandar yang tersusun mampu memberi impak besar kepada semua. 
Pada 1 Mac 2014 telah diadakan pertandingan melukis mural sempena Sambutan Hari Landskap Negara Peringkat Kebangsaan 2014 bertempat di Taman Awam Teluk Likas Kota Kinabalu. Acara menarik ini telah dirancang dan dijayakan oleh Jabatan Landskap Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bertujuan memberi peluang kepada pelukis-pelukis untuk menterjemah keindahan landskap Kota Kinabalu yang bertemakan “Kota Kinabalu Bandaraya Peranginan Semulajadi”. Selain meningkatkan kesedaran dan minat pelukis terhadap landskap, ia juga dapat mempromosi keindahan dan keunikan landskap sekitar bandar Kota Kinabalu sebagai tarikan pelancong dalam dan  luar negara.
Sebanyak 26 penyertaan pelukis yang telah disertai samada secara solo atau berkumpulan  mewakili pertubuhan-pertubuhan, badan kerajaan dan bukan kerajaan, institusi pendidikan awam dan swasta, kumpulan dan perseorangan terlibat dalam menjayakan aktiviti melukis mural yang mendapat penyertaan di luar jangkaan. Mereka berusaha berpadu tenaga mencurahkan idea dan bakat dalam mengekspresikan kerja-kerja artistik pada ruang papan mural yang telah disediakan.
Ukuran papan 4X8 kaki beserta kekuda telah digunakan dengan sebaik mungkin dengan kesesuaian alatan dan bahan yang dibawa peserta. Penggunaan media warna seperti cat poster, akrilik, imulsi, semburan dan pelbagai jenis warna mudah kering yang menjadi pilihan dapat dimanfaatkan peserta bagi merealisasikan konsep rekaan mural yang dirancang.
Media-media yang  digunakan bukan sekadar menguji kecekapan serta kebolehan seseorang pelukis semasa proses melukis dan mewarna, malahan juga dapat menunjukkan kemahiran pelukis untuk membuat penelitian teliti dan secara menyeluruh ke atas objek yang hendak dilukis.
Masa yang diperuntukan selama 7 jam bermula seawal jam 9 pagi hingga 4 petang digunakan sepenuhnya bagi memenuhi seluruh permukaan mural. Setiap lakaran dan palitan warna adalah jalinan alam semulajadi keindahan flora dan fauna  dalam sistem ekologi darat dan lautan disepadukan dengan rekabentuk-rekabentuk bangunan dan binaan yang menjadi mercu bandaraya Kota Kinabalu. Ternyata ianya mampu memberi kesan segar dan emosi yang lebih mendamaikan.

Berikut adalah sekitar gambar-gambar foto proses pembikinan mural saya (blogger) dan keputusan pertandingan mural yang lain. Untuk makluman, mural saya (gambar 5) mendapat tempat saguhati dalam pertandingan tersebut. 

Jam 9.00 pagi ketika itu suasana masih segar. Saya sangat teruja dan bersemangat dengan permulaan awal ketika menyapu 'undercoat' pada playwood 4X8 kaki. 
Proses mendapatkan garisan (outline) dan  perletakan rupa (shape) bagi memudahkan kerja-kerja mewarna dengan secepat yang mungkin kerana masa yang diperuntukkan adalah 7 jam. 
Kerja-kerja meletakkan objek 3D seperti periuk kera, rafflessia, karangan dan rumpai laut memerlukan proses pembentukan yang rapi daripada bahan polysterine. 
Kemudian, proses akhir dan kekemasan (detailing) objek-objek dan imej perlu disegerakan ketika masa sudah menghampiri jam 3.30 petang. Sungguh memenatkan.

Tepat jam 4.00 petang, mural siap untuk diperaga dan dinilai. Walaupun 7 jam tanpa henti dengan ruang permukaan sebegitu besar, saya tetap bersyukur dan berpuas hati  dengan hasilnya walaupun terdapat beberapa bahagian yang kelihatan tidak siap.

Lukisan mural yang memenangi tempat pertama. Agak terkejut juga pada saya kerana lukisan ini pada saya ia kurang menepati tema pertandingan iaitu Kota Kinabalu Nature Resort City. Tapi hakikatnya juri hakim telah sepakat untuk memilih lukisan mural ini. Tahniah.

Tempat kedua. Sesuai dengan konsep mural yang cantik untuk dipandang. Penggunaan warna yang harmoni dan pemilihan subjek yang sesuai.

Tempat ketiga. Menampilkan permukaan mural yang bertekstura (relief panting) digabung dengan penggunaan warna yang terang dan memberi kesan emosi terhadap persekitarannya berjaya meletakkan suasana waktu malam yang bercahaya dan bertenaga.





1 comment:

Unknown said...

Salam, sy nk tanya kalau lukis atas plywood tu, semua jenis cat ke boleh guna

Lukis Potret Guna Pastel- Mesti Tonton