April 29, 2014

Program Garisan Landasan Sabah 2014

Seniman adalah insan yang sering menjadikan keindahan alam semulajadi dan warisan budaya tempatan sebagai cetusan idea dalam penciptaan karya seni. Faktor tersebut seolah-olah suatu kemestian yang perlu diungkap melalui sentuhan artistik dan daya kreativitinya. Kemudian mereka menggarap suatu mesej penting kepada masyarakat agar dapat menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan dan keunikan warisan budaya yang sangat berharga.

Menyedari hakikat itu, Persatuan Seni Sabah dan Jabatan Keretapi Negeri Sabah dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Sabah, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Balai Seni Visual Negara dan Balai Seni Lukis Sabah telah menganjurkan Program Garisan Landasan Sabah (GLS) dan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014. Ia adalah sebahagian langkah mempromosi keunikan sistem pengangkutan keretapi Sabah sebagai produk pelancongan kepada pelawat di dalam dan luar negara.

 Program yang julung-julung kali diadakan di negeri ini merupakan gabungan 75 seniman yang terdiri daripada pelukis, penulis dan jurufoto tanahair dan turut mendapat enam penyertaan antarabangsa melibatkan 4 buah negara. Program yang berlangsung dari 29  hingga 30 Mac 2014 tersebut menyaksikan sebuah pengembaraan menaiki keretapi dari stesen Tanjung Aru, Kota Kinabalu dan berakhir di stesen keretapi Tenom.

Landasan keretapi yang bermula dari Tanjung Aru menuju ke arah selatan melalui tanah datar ke stesen Beaufort sejauh 85 kilometer. Di perkarangan stesen Beaufort peserta meluangkan masa melakukan aktiviti melukis dan membaca puisi bersama warga daerah Beaufort di samping mendengar taklimat panduan keselamatan keretapi. Dari Beaufort landasan keretapi menuju ke Tenom sejauh 49 kilometer dengan mendaki kawasan tanah berbukit setinggi kira-kira 170.6 meter dari paras laut. Perjalanan tersebut dapat merasai pengalaman baru kepada penumpang kerana pemandangan yang sangat menarik di sepanjang Sungai Padas.
Pada penghujung program diadakan Malam Apresiasi Seni yang menyaksikan penyair-penyair mendeklamasikan sajak dan lagu-lagu puisi, persembahan bicara berirama daripada Badan Bahasa Tenom dan menariknya persembahan pada malam itu turut diserikan oleh artis terkenal tanahair Sani Sudin daripada kumpulan Kopratasa.Perasmian penutupan program tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Kamarlin Haji Ombi, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Lumadan.

 Peserta program telah menghasilkan karya dalam bentuk visual lakaran, fotografi dan penulisan. Hasil karya pelukis dan jurufoto adalah berdasarkan pengalaman di dalam keretapi di samping dapat merakam keindahan alam dan aktiviti masyarakat di sepanjang landasan dan hentian keretapi. Manakala penulis menterjemah cetusan rasa menerusi puisi dan catatan pengembaraan. Hasil daripada program ini, setiap karya peserta akan didokumentasikan melalui penerbitan buku selain dipamerkan untuk tatapan umum.
Karya fotografi salah seorang peserta GLS

 Peserta GLS sedang menghasilkan potret
En Mohd Puad Bebit menerangkan sesuatu mengenai karya lukisan yang dipamerkan.

Kesemua peserta GLS bergambar kenangan.

No comments:

Lukis Potret Guna Pastel- Mesti Tonton