Dalam konteks seni visual kontemporari, Borneo Malaysia yang kaya dengan
kraf dan budaya pelbagai etnik telah memberikan inspirasi kepada pelukis. Hakikat
itu menjadikan pelbagai kesenian, adat budaya, peristiwa, landskap dan
kehidupan terus menjadi tema dan subjek bagi menterjemahkan ungkapan visual
yang penuh bermakna.
Seramai 66 pelajar tahun akhir dari Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan,
Universiti Malaysia Sabah berjaya menganjurkan Pameran Bakat Muda Matrix Show
2014 yang memperagakan karya seni visual berbentuk 2D dan 3D seperti lukisan,
catan, arca dan grafik di samping teknologi visual seperti animasi, filem dan
interaktif multimedia.
Pameran yang berlangsung selama empat hari bermula 20 Mei dan berakhir
24 Mei itu dirasmikan oleh Dato’ Mahadzir Lokman, Pengerusi Lembaga Pembangunan
Balai Seni Visual Negara (BSVN). Dalam ucapannya, beliau sangat kagum dengan
kerja-kerja artistik pelajar yang ditunjukkan dari proses awal hingga akhir
projek. Lantaran hasilnya menampakkan kualiti yang baik, beliau menyarankan
pelajar-pelajar dapat menyertai dalam pertandingan Bakat Muda Sezaman yang
dianjurkan oleh BSVN.
“Hasil seni visual yang dipamerkan sangat menarik,
kreatif dan kualitinya mampu berada pada tahap yang lebih tinggi,” katanya
ketika berucap merasmikan pameran tersebut.
Turut hadir
pada perasmian tersebut adalah Prof. Dr Ismail Ibrahim, Dekan Fakulti Psikologi
dan Pendidikan, menyatakan Tujuan MATRIX Show yang dianjurkan sejak tahun 2006
ini adalah menggarap idea dan kreativiti karya pelajar di samping berpeluang
menimba pengalaman menganjurkan pameran.
“Hasil dari
pengetahuan dan pembelajaran yang turut dibantu oleh tenaga pengajar
berpengalaman yang diketuai oleh Dr. Zaimi Sahibil, pameran ini sekaligus dapat
meningkatkan mutu hasil karya pelajar agar setanding dengan karya penggiat seni
visual tersohor tempatan dan antarabangsa” Katanya ketika berucap pada majlis
perasmian tersebut.
Menghayati karya seni lebih bermakna jika ianya dapat diapresiasi oleh
pelukis itu sendiri. Bagi Muhammad Hafiz Ramli, penghasilan karya bertajuk
“Tinauh” digayakan dengan catan aliran post-impresionisme untuk menggambarkan
beberapa aktiviti dalam adat perkahwinan kaum Murut. “Saya memberi penekanan terhadap aksi figura
sedang melakukan kerja-kerja memotong buluh untuk persiapan tempat dan
peralatan serta juga kelihatan figura sedang memakai pakaian tradisi
perkahwinan yang berlatarkan bahan berian dan rumah etnik tersebut,” Katanya.
Agak unik dan menarik apabila melihat karya arca relief Nur Eliani Binti
Abd. Halim yang yang bertajuk ‘Underwater Treasure’, menceritakan
tentang keindahan ekosistem terumbu karang yang membawa mesej kepentingan
penjagaan dan pemuliharaan khazanah borneo.
“Karya ini merupakan luahan
idea saya dalam memberi gambaran kepada masyarakat tentang harta tidak ternilai yang ada di dalam perut bumi. Penggunaan
media seperti kertas, kain, kapas, tali
dan benang adalah amat bersesuaian bagi memberi gambaran tentang
kelembutan, kekasaran dan kehalusan yang sebenarnya ada pada terumbu karang,”
Katanya ketika ditemui.
Bagi Ahmad Huzairi bin Hasim, penghasilan karya kuda bajau membawa
konsep kehidupan serumpun masyarakat Bajau Kota Belud yang masih mempertahankan
adat tradisi. Penggunaan bahan logam seperti besi yang ditempa membawa simbolik
kepada sifat kuda yang kuat dan berani. Berkongsi medium yang sama, Jayson Jason bin Japary menjadikan kisah
pencerobohan berdarah di Kampung Tanduo pada tahun lalu memberi inspirasi
kepadanya menghasilkan karya arca instalasi. Matlamat karya ini bertujuan untuk
memperingati dan menghargai jasa perwira-perwira yang telah gugur dalam usaha
mempertahankan kedaulatan negara.
Matrix Show 2014 menggabungkan pelbagai bidang dan medium dalam pencetusan
idea karya seni visual bagi menterjemah keunikan dan keindahan budaya warisan
borneo. Selain dari nilai estetika yang terdapat pada karya, paling penting
adalah mesej yang diungkapkan oleh pelajar mampu memberi pengetahuan dan
kesedaran yang tinggi agar masyarakat dapat bersatu menjaga dan memelihara
keunikan dan keindahan warisan yang tidak ternilai harganya.
Turut hadir
pada majlis perasmian tersebut adalah Dr Sim Chee Cheang, Timbalan Dekan
(P&I) SPS, Prof. Madya Hasnul Jamal Saidon dari Universiti Sains Malaysia
(USM) sebagai penilai MATRIX Show 2014 serta pelukis-pelukis dari Persatuan
Seni Visual Sabah.
Dato’ Mahadzir Lokman berucap dalam perasmian Matrix Show 2014
Dato’ Mahadzir Lokman memukul gong simbolik perasmian Matrix Show 2014
Nur Eliani Binti Abd. Halim dengan karyanya bertajuk ‘Underwater Treasure’ sambil diperhatikan Dato’ Mahadzir Lokman.
Sebuah lukisan bersaiz besar karya Muslim Mattajim
‘Kuda Bajau’Karya Ahmad Huzairi bin Hasim yang menggunakan medium besi
Karya bertajuk ‘Tinauh’ oleh Muhammad Hafiz Ramli mengetengahkan tradisi perkahwinan masyarakat Murut.
Karya instalasi Nor Farhana Abd Wahab bertajuk “MURUT” mengupas nilai budaya dan perpaduan masyarakat Murut yang tinggal di kawasan bukit.
Pelajar dan pensyarah bergambar kenangan dengan Dato’ Mahadzir Lokman dan tetamu lain ketika perasmian Matrix Show 2014