November 30, 2008

Asas Senireka Dalam PSV

Unsur Seni
Unsur seni terdiri daripada enam elemen asas yang penting dalam penggubahan sesuatu karya seni visual iaitu:

Garisan ialah cantuman dari satu titik ke titik yang lain dengan mempunyai jarak-jarak tertentu. Aplikasi berbagai jenis garisan dapat mencipta rupa, jalinan, ton, corak serta menimbulkan gambaran bentuk, ruang dan gerakan dalam seni visual.
Rupa mesti mempunyai garisan luar (outline) dan sempadan yang mengelilinginya. Rupa ialah sesuatu kawasan yang berbeza dari ruang di sekeliling dan bersifat 2-D (tidak berjisim). Merupakan hasil pertemuan antara penghujung garisan dan permulaannya.

Bentuk mempunyai struktur jisim dan isipadu. Bentuk dapat dihasilkan melalui lukisan, catan, arca, komputer dan kraf tradisi. Terdapat 2 jenis bentuk iaitu bentuk konkrit dan ilusi. Bentuk konkrit ialah bentuk sebenar yang bersifat 3 dimensi. Bentuk ilusi ialah bentuk yang dilihat melalui gambar atau ilustrasi. Ianya bersifat rata dan boleh dihasilkan melalui lakaran, catan dan lukisan berkomputer 3 dimensi.
Jalinan merujuk kepada kesan yang terdapat pada permukaan sesuatu objek. Ia dapat menunjukkan kesan rasa dan ekspresi sesuatu objek kepada kita. Jalinan terbahagi kepada dua iaitu jalinan sentuh dan tampak. Jalinan sentuh ialah jalinan yang dapat dirasai melalui sentuhan, contohnya kulit buah durian (alam semula jadi) dan jahitan sulaman (alam buatan manusia). Jalinan tampak pula jenis jalinan yang hanya dapat dilihat tetapi tidak dapat dirasa melalui sentuhan.
Ruang merupakan kawasan yang dikelilingi oleh garisan, atau kawasan kosong di sekeliling objek, atau jarak antara dua objek
Warna ialah pigmen pewarna kimia yang bertindak balas pada sesuatu permukaan. warna terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu warna asas, warna sekunder dan warna tertier.
Warna asas terdiri daripada warna biru, merah dan kuning; dan ianya boleh menghasilkan warna sekunder dan warna tertier
Warna sekunder pula terdiri daripada warna hijau, jingga dan ungu; dan dapat dihasilkan daripada campuran dua warna asas.
Sementara itu, warna tertier terhasil daripada percampuran warna asas dan sekunder.


Prinsip Rekaan
Harmoni wujud di alam sekeliling apabila munculnya susunan atau ulangan unsur-unsur seni mengikut cara atau gaya yang tertentu. Tujuan menghasilkan kesan harmoni adalah untuk menarik perhatian pada sesuatu gubahan, objek atau imej.
Kontra wujud apabila salah satu daripada unsur-unsur seni mempunyai ciri-ciri yang bertentangan di antara satu sama. Ianya bertujuan untuk menimbulkan kesan yang menarik pada sesebuah karya seni. Kontra berkait rapat dengan penegasan (semakin tinggi kadar kontra semakin jelas penegasan).
Penegasan ialah sesuatu yang boleh menarik perhatian dan tumpuan kepada pemerhatian tampak. Ianya berfungsi sebagai daya penarik, pemusatan karya, mengelak kebosanan dan menjadikan gubahan lebih menarik
Imbangan ialah keadaan gubahan yang sama sempadan, sama berat dan graviti, sama kecerahan warna, sama padan dan sama gaya penampilan.Terdapat tiga jenis imbangan iaitu imbangan simetri, tidak simetri dan imbangan semua arah.
Pergerakan wujud apabila terdapatnya keadaan yang bergetar,bergoyang, bergegar, berayun, bersinar-sinar dan sebagainya. Pergerakan bertujuan untuk memberi ‘nyawa’, rupa dan bentuk visual dalam seni tampak dua dimensi.
Kepelbagaian merupakan keadaan penggabungan pelbagai gaya, nilai dan idea yang berbeza. Susunan atau ulangan unsur-unsur seni yang bertentangan arah dan berbeza saiznya akan mewujudkan kepelbagaian.
Kesatuan merupakan olahan motif atau ulangan unsur-unsur seni secara sistematik, berpandukan grid berdasarkan tema atau idea sesuatu hasil karya. Susun atur yang kemas, teratur, lengkap dan sempurna dapat mewujudkan kesatuan.

1 comment:

Unknown said...

Wah senang betul bahan rujukan dapat saya habiskan kerja sekolah saya. Memang hebat betulah😄😄😊

Lukis Potret Guna Pastel- Mesti Tonton