December 8, 2009

Self Potret- Amron Omar

TAJUK KARYA : SELF POTRAIT (1982)
PENGKARYA : AMRON OMAR

Potret Amron ini satu drama diri yang handal, sebuah penegasan identiti Melayu yang sifat lemah lembutnya langsung tidak tertutup oleh cara agresif dia duduk di atas kerusi malas rotan. Lutut kaki kiri naik, kaki kanan mencecah lantai, bersedia untuk berhadapan dengan musuh yang melemparkan bayang-bayang. Rambut kerinting panjang berserabut, dada terdedah, berpakaian sarung, Amron melenting menyambut provokasi. Kepala menjenguk ke depan, siku kiri sedia menangkis, tangan kanan menanti untuk menampar.

Dia menghina dengan menunjukkan tapak kakinya kepada penceroboh itu, perbuatan kurang ajar dalam budaya Melayu. Maksudnya : “Awak ini siapa, taik anjing. Awak masuk aku terajang”. Sebaliknya tapak kaki kiri yang menghala ke pemerhati, ditutup dengan jari, selaku meminta maaf sebab tiada niat jahat, meskipun urat yang tertimbul menandakan pergaduhan pasti berlaku sesaat dua lagi. Mesej Amron ialah bahawa potret itu lebih dari hanya separas muka, secara depan atau sisi, sejenis rakaman yang kita warisi dari zaman Renaissance.
Potret ini dirakam dari atas, nampak dahi, tulang hidung, satu mata, dan sedikit mulut. Bahu kiri terjungkit sebab tangan berehat di atas lutut yang tersandar pada alas tepi. Otot dada tegang, menunjukkan tulang dada tertonjol. Kedutan sarung menambah kepada watak Amron yang suka pada kesederhanaan dan benci pada kepura-puraan, meluat pada orang yang cakap besar padahal dia sendiri apa kurangnya. Sarung itu ringan, berangin, selesa, lekat pada punggung, betis, lutut, paling sesuai dalam cuaca tropika. Reka corak sarung sesuai dengan komposisi yang sendeng, dibantu pula jalur kelabu meminggir ke tepi, sama seperti bayang-bayang di lantai.
Chiarscuro ini menyarankan tema lagan iaitu:
a. figura dan kerusi rotan
b. figura yang duduk dan bilik yang kosong
c. hal benda yang nampak dalam adegan dan hal benda yang tak nampak di luar adegan.
Selanjutnya, dalam diri figura itu sendiri tertanam sifat lembut dan sifat kasar; sifat rendah diri dan sifat kurang ajar; sifat tenang dan sifat amuk, timbang menimbangi, nyaris-nyaris bergeseran. Kerusi malas juga disusun-letak demikian sehingga limpahan cahaya itu jatuh ke atas lipatan kain, dada sebelah kanan, jari-jari, ibu jari kaki yang terangkat. Gelap yang memudar tepi cahaya di lantai adalah rekacorak sarung yang diperbesarkan, sebagai cara untuk membahagi ruang, menyatukan cerita yang hujungnya masih menjadi tanda tanya.



3 comments:

wariepul "we" said...

erm.. menarik sgt blog ny,... tahianh.. terus kan berkongsi tentang seni.

Anonymous said...

adakah ini hasil kritikan dr prof.zakaria ali?
sgt membantu dlm membuat kritikan pada karya...trima kasih..

Miss.Iffah said...

Assalamualaikum tuan..tq sgt blog ni..memang sgt membantu dlm tugasan PSV saya..

Lukis Potret Guna Pastel- Mesti Tonton