Seniman adalah insan yang sering menjadikan keindahan
alam semulajadi dan warisan budaya tempatan sebagai cetusan idea dalam
penciptaan karya seni. Faktor tersebut seolah-olah suatu kemestian yang perlu
diungkap melalui sentuhan artistik dan daya kreativitinya. Kemudian mereka
menggarap suatu mesej penting kepada masyarakat agar dapat menghargai keindahan
alam ciptaan Tuhan dan keunikan warisan budaya yang sangat berharga.
Menyedari hakikat itu, Persatuan Seni Sabah dan Jabatan Keretapi Negeri Sabah dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Sabah, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan
Malaysia, Balai Seni Visual Negara dan Balai Seni Lukis Sabah telah
menganjurkan Program Garisan Landasan Sabah (GLS) dan bersempena Tahun Melawat
Malaysia 2014. Ia adalah sebahagian langkah mempromosi keunikan sistem
pengangkutan keretapi Sabah sebagai produk pelancongan kepada pelawat di dalam
dan luar negara.
Program yang julung-julung kali diadakan di negeri ini merupakan gabungan 75 seniman yang terdiri daripada pelukis, penulis
dan jurufoto tanahair dan turut mendapat enam penyertaan antarabangsa
melibatkan 4 buah negara. Program yang berlangsung dari 29 hingga 30 Mac 2014 tersebut menyaksikan
sebuah pengembaraan menaiki keretapi dari stesen Tanjung Aru, Kota Kinabalu dan
berakhir di stesen keretapi Tenom.
Landasan keretapi yang bermula dari Tanjung
Aru menuju ke arah selatan melalui tanah datar ke stesen Beaufort sejauh 85
kilometer. Di perkarangan stesen Beaufort peserta meluangkan masa melakukan
aktiviti melukis dan membaca puisi bersama warga daerah Beaufort di samping
mendengar taklimat panduan keselamatan keretapi. Dari Beaufort landasan
keretapi menuju ke Tenom sejauh 49 kilometer dengan mendaki kawasan tanah
berbukit setinggi kira-kira 170.6 meter dari paras laut. Perjalanan tersebut
dapat merasai pengalaman baru kepada penumpang kerana pemandangan yang sangat
menarik di sepanjang Sungai Padas.
Pada penghujung program diadakan Malam
Apresiasi Seni yang menyaksikan penyair-penyair mendeklamasikan sajak dan
lagu-lagu puisi, persembahan bicara berirama daripada Badan Bahasa Tenom dan
menariknya persembahan pada malam itu turut diserikan oleh artis terkenal
tanahair Sani Sudin daripada kumpulan Kopratasa.Perasmian penutupan program
tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Kamarlin Haji Ombi,
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan
Undangan Negeri Lumadan.
Peserta program telah menghasilkan karya
dalam bentuk visual lakaran, fotografi dan penulisan. Hasil karya pelukis dan
jurufoto adalah berdasarkan pengalaman di dalam keretapi di samping dapat merakam
keindahan alam dan aktiviti masyarakat di sepanjang landasan dan hentian
keretapi. Manakala penulis menterjemah cetusan rasa menerusi puisi dan catatan
pengembaraan. Hasil daripada program ini, setiap karya peserta akan
didokumentasikan melalui penerbitan buku selain dipamerkan untuk tatapan umum.
Karya fotografi salah seorang peserta GLS
Peserta GLS sedang menghasilkan potret
En Mohd Puad Bebit menerangkan sesuatu mengenai karya lukisan yang dipamerkan.
Kesemua peserta GLS bergambar kenangan.
No comments:
Post a Comment