February 17, 2010

REHAL- Estetika dan Falsafah


Rehal secara tradisinya dicipta sebagai alat meletak bahan bacaan seperti buku, kitab agama dan Al-Quran. Sinonim dengan masyarakat Islam, rehal digunakan sebagai alas ketika membaca Al-Quran.

Rehal sebagai artifak yang sering dikaitkan dengan kesucian kitab Al-Quran ini juga mempunyai nilai estetikanya sebagaimana kewujudan keris, songket dan tepak sirih dalam budaya Melayu. Selain kegunaannya untuk mengaji atau membaca Al-Quran, rehal tradisi juga digunakan ketika majlis berzanji, marhaban, kelas agama, malahan kerap menjadi barang hantaran perkahwinan serta sebagai alat bantuan mengajar di masjid dan surau sejak sekian lama. Rehal tradisi hanya ada dua teknik pembuatannya iaitu bersilang dan berjejari. Bila zaman sudah berubah, muncul pelbagai rekabentuk rehal, antaranya berbentuk meja kecil dan kotak. Diluar negara seperti Pakistan dan India memang sudah lama menggunakan meja-meja kecil untuk membaca Al-Quran. Penggunaan rehal berbentuk meja kecil masih baru di Malaysia sejak ia diperkenalkan oleh sebuah syarikat tempatan pada 1998.
Pembuatannya menggunakan teknik ukiran kayu secara tebuk tembus dan timbul. Manakala motif ukiran kebanyakannya menggunakan motif flora, geometrik dan kaligrafi. Selain ukir, terdapat penggunaan teknik lain untuk mengindahkan rehal seperti teknik inlay menggunakan kulit kerang, dan kulit telur serta tampalan kepingan tembaga dan disaluti dengan kulit tiram.
Terdapat juga rehal yang dihias dengan lukisan dan diwarnai dengan pelbagai bahan seperti lacquer ware, stained coloured, atau dilukis dengan corak batik. Rekabentuk dan ragam hias rehal tradisi mempunyai unsur-unsur yang melambangkan budaya setempat dan ia mempunyai nilai-nilai artistik dan emosi kepada pemiliknya. Berbanding rehal seperti meja kecil atau kotak yang mana permukaananya rata dan kosong. Walaupun ia dianggap praktikal digunakan pada masa kini tetapi kewujudan rehal tradisi dalam masyarakat Islam di setiap negara berhubung kait dengan seni, budaya dan kerohanian.
Rehal yang direkabentuk bersilang dan berjejari mempunyai perlambangan tersendiri. Apabila dibuka, bahagian atasnya seolah-olah "menadah tangan" yang membawa maksud sesuatu ilmu yang turun dari langit seperti ayat-ayat suci Al-Quran adalah kalam Allah yang dibawa oleh Malaikat Jibril kepada Rasulullah SAW. Begitu juga dengan falsafahnya, apabila berdoa pula kita menadah bukaan tangan yang dirapatkan dan ia boleh dilihat sebagaimana bentuk rehal tradisi itu diperbuat. Hakikatnya rehal tradisi mempunyai falsafah tersendiri, perlu dikekalkan serta diluaskan penggunaannya. ekaannya pula diperbaiki (dari aspek tinggi-bukaannya) dan dihebahkan pengertian, falsafah tersurat serta tersirat disebalik reka bentuknya yang lebih mempunyai nilai estetika serta simbolik dalam sejarah perkembangan budaya dan agama Islam sejak sekian lama.







Rehal tradisi daripada kayu yang diukir







Rehal yang mempunyai ragamhias menggunakan teknik inlay

















Ukiran indah di puncak kaagungan Islam


















Rehal diperbuat daripada pewter dijadikan hantaran perkahwinan








Rehal mempunyai falsafah dan estetika yang unik






Subjek rehal digunakan sebagai pintu gerbang

2 comments:

bla ...bla... bla.. said...

cikgu....saya punjam artikel gikgu k...hehehe

bla ...bla... bla.. said...

cikgu....saya punjam artikel gikgu k...hehehe

Lukis Potret Guna Pastel- Mesti Tonton